13 June, 2013

SABAR MENGHADAPI UJIAN PENENTU MASA HADAPAN

Mengapa ada ujian dalam kehidupan?
Sebenarnya ujian merupakan lumrah dalam kehidupan. Jika kita menghendaki sesuatu yang kita sukai perlu kita berusaha menggapainya. Dalam pada itu, kesempitan, kesukaran dan berbagai rintangan perlu ditempuhi untuk memenuhi cita-cita kita itu. Lebih-lebih lagi apabila kita mengharap redha Allah yang tiada tandingan jika hendak dibandingkan dengan apa jua bentuk kenikmatan. Namun, ujian di dunia sebenarnya bersifat sementara dan hanya untuk menilai tahap kesabaran manusia. Allah berfirman:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” ( Al-Mulk: 2)
Hakikat dalam ujian adalah menentukan darjat seseorang insan di sisi Tuhan. Sama ada baik atau buruk semua terpulang kepada diri manusia itu sendiri. Selain itu, jika kita teliti semula sejarah manusia-manusia yang berjaya dalam hidupnya tidak pernah lekang kehidupan mereka daripada menghadapi ujian.
Lihat dalam sejarah hidup baginda s.a.w, berapa kali baginda dicaci maki? Berapa kali batang tubuh baginda disakiti? Berapa kali baginda digelar itu dan ini? Bukankah baginda seorang nabi? Adakah kita lebih mulia daripada baginda sehingga ujian yang datang melanda kita anggap sebagai suatu penyeksaan? Sedangkan baginda menghabisi seluruh kehidupannya dengan menyebarkan kebaikan walhal kita hidup dengan penuh kepura-puraan.
Oleh itu, sedarlah wahai insan, kita diuji bukan bermakna Allah menjauhkan kita dengan-Nya. Bahkan manusia yang teguh dan sabar dalam menempuhi ujian ini hakikatnya dia lebih dekat dengan Allah s.w.t. Di samping itu, apabila manusia diuji sebenarnya Allah sedang berbicara dengannya kerana Allah mahu kebaikan tersemat dalam jiwa hamba. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Abu Hurairah r.a:
“Barangsiapa yang Allah kehendaki akan memperoleh kebaikan maka Allah akan timpakan kepadanya musibah padanya baik yang mengenai tubuhnya atau hartanya atau apa-apa yang menjadi kekasihnya”.( HR Bukhari )

Ujian sekadar kemampuan insan
“Allah tidak membebani manusia melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah:286)
Begitu bunyi ayat Allah menggambarkan kepada manusia sebenarnya Dia tidak memberatkan manusia dengan apa yang tidak mampu untuk dilakukan.  Namun, mengapa masih ada manusia seakan-akan tidak dapat menerima ujian dari-Nya?
Maha suci Allah daripada tidak tahu tahap keupayaan manusia. Hakikat sebenarnya, tahap keupayaan seseorang insan itu ditentukan oleh dirinya sendiri. Sejauh mana dia ingin membawa diri jika ditimpa kesusahan atau sekuat mana dia mampu mendepani segala permasalahan dalam kehidupan semuanya bergantung pada kekentalan jiwa insan.
Merujuk kepada persoalan diatas tentang seseorang yang murtad atau melakukan keburukan yang lain selepas diuji dengan kematian keluarga akibat kemalangan saya suka untuk melontarkan beberapa idea. Jika kita lihat semula, manusia secara pasti akan menemui mati. Justeru, bagi mereka yang ditimpa musibah seperti ini tidak perlu lama bersedih hati. Bukan bermaksud tidak perlu sedih atau mengenang akan kematian. Namun, jangan menjadikan ia sebagai titik pengakhiran hidup kita atau titik mula kita melakukan kerosakan kerana bagi mereka yang sedar bahawa setiap insan juga akan turut ikut sama(mati) maka tidak wajar bagi mereka bersedih dalam kadar yang lama apalagi murtad.
Allah menguji seseorang dengan kemampuannya. Disebalik itu, Dia menyediakan balasan setimpal dengan ujian yang telah ditetapkan dengan syarat perlu diterbit dalam jiwa manusia itu rasa redha dengan ketentuan-Nya. Bagi kes seperti ini nabi s.a.w ada bersabda daripada Abu Hurairah r.a:
“Tidak ada balasan bagi seseorang hambaku yang mu’min di sisiKu di waktu aku mengambil kekasihnya dari ahli dunia, kemudian ia mengharapkan keredhaan Allah melainkan orang itu memperoleh syurga.”(HR Bukhari)

Proses peningkatan iman
Iman manusia meningkat dan menurun. Meningkat apabila dilimpahi dengan ibadat, menurun apabila melakukan maksiat. Ujian dalam kehidupan merupakan elemen yang Allah tetapkan untuk menilai tahap keimanan seseorang sama ada tertingkat atau sebaliknya. Allah berfirman:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al-Ankabut:2)
Begitu sebenarnya hakikat keimanan. Ia bukanlah angan-angan atau mimpi. Tetapi ia adalah apa yang tersemat kukuh di dalam diri dan terzahir dengan amalan yang menjadi bukti. Keberjayaan ujian pada setiap manusia dinilai dengan tahap kesabarannya menempuhi segala cabaran kerana orang-orang bersabar sesungguhnya Allah ada bersama-sama mereka.
Kondisi Sabar
Sabar boleh dibahagikan kepada beberapa kondisi dalam kehidupan manusia antaranya:
1.Sabar dalam ketaatan
Dalam melakukan perkara kebaikan, kesabaran amat diperlukan. Hal ini kerana dala jiwa manusia sentiasa ada musuh yang menghasut untuk membuat kejahatan. Di tambah pula dengan realiti hidup manusia sekarang ini di mana orang yang melakukan sesuatu kebaikan dianggap sebagai sesuatu yang ganjil. Justeru, dalam melakukan kebaikan tidak dapat tidak perlu seiring dengan kesabaran.
2.Sabar dalam ujian
Seperti yang saya sebutkan tentang persoalan yang diajukan kepada saya di atas juga dalam apa bentuk ujian dalam kehidupan manusia, sabar amatlah dituntut kerana tanpa kesabaran manusia akan hilang arah. Mula dia menyalahkan Allah atas segala musibah. Jadi, kesabaran dalam situasi ini amat penting supaya manusia sekurang-kurangnya bersangka baik dengan Allah atas segala masalah.
3.Sabar dalam kemaksiatan
Sabar ini bukanlah bermaksud apabila kita ingin membuat keburukan perlu ada kesabaran. Namun, ia adalah sejauh mana kita dapat menahan diri kita untuk tidak melakukan maksiat berkenaan. Tambahan pula, dalam perkara yang melibatkan kemaksiatan, banyak faktor-faktor yang melorong manusia kea rah berkenaan. Natijahnya, kesabaran dalam kemaksiatan adalah suatu tuntutan.
Sabar dalam perhubungan
1.Kekeluargaan
Lumrah dalam keluarga kadang-kadang bertikam lidah sesama saudara sedarah. Namun, sillaturahim antara keluarga perkara yang wajib dijaga. Dewasa kini, manusia terlalu mudah memutuskan persaudaraan hanya kerana perwarisan harta, dengki yang tak semena-mena dan pelbagai perkara remeh yang lain. Justeru, bertolak ansur dan berbaik sangka amaln mulia yang boleh mengelakkan perkara ini terus berpanjangan.
2.Percintaan
Sabar dalam percintaan bukan bermakna menanti penuh sabar tanpa ada usaha untuk mencarinya. Sememangnya jodoh telah tertulis, namun usaha daripada pihak manusia juga satu keperluan. Tetapi ramai yang salah sangka hingga menganggap cinta sesama manusia adalah segala-galanya hingga sanggup dihabiskan masa dengan novel-novel dan perkara menjurus kearah itu yang tidak membuahkan faedah. Tambahan lagi, sabar dalam bercinta juga adalah kita menahan nafsu untuk melakukan perkara yang ditegah sebelum akad yang sah disamping berusaha bersedia dari sudut mental dan fizikal sebelum seseorang bernikah.
3.Rumah tangga
Saya bukan orang yang layak bercakap soal ini kerana masih belum berumah tangga. Namun, asam garam dalam berumah tangga, kadang-kadang ada pandangan berbeza. Adapun kesabaran perlu menjadi tonggak utama dalam banyak perkara kerana kesan perselisihan yang berpanjangan bukan sahaja pada pasangan namun lebih buruk tertempias kepada anak-anak. Maka akan berlakulah perkara yang tidak diingini akibat protes daripada anak-anak yang mengharapkan perhatian dan kasih-sayang daripada ibu bapa namun apa yang diterima adalah sebaliknya.
4.Persahabatan
Dalam persahabatan, kesabaran amat penting kerana sahabat atas dasar keimanan lebih berharga nilainya daripada persaudaraan sedarah. Justeru, ulama’ meletakkan garis panduan pada manusia dalam menilai kesabaran dalam persahabatan iaitu bersangka baik atau berlapang dada sebagai selemah-lemah perkara dan mendahulukan sahabat dalam apa jua urusan sebagai tertinggi nilainya.
Kesimpulan
Kesabaran dalam ujian itu adalah satu perkara yang sukar kerana ia melibatkan pelbagai bentuk pengorbanan. Adapun mereka yang berusaha mencapainya dengan bacaan tentang sejarah orang-orang yang sabar dan ganjaran bagi mereka serta bersyukur dengan kenikmatan yang diberikan pasti akan memperoleh kejayaan kalau bukan di dunia pasti di akhirat sana. Teliti hadis baginda s.a.w ini sebagai pemangkin semangat dalam diri kita untuk sama-sama tanamkan sifat sabar dalam jiwa:
“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang lain dan derita sehingga sebatang duri menikamnya kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosanya”. (HR Bukhari)

Reactions:

0 comments :

Post a Comment