Selamat Datang Ke Blog PSS Sdar

Pusat Sumber Sekolah, Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus

Welcome To SDAR SRC Blog

School Resource Center, Dato' Abdul Razak School (High Prestige School First Cohort), Seremban, Negeri Sembilan

Perpustakaan Tun Hussein Onn

Tun Hussein Onn Library

Perasmian Blog PSS

Minggu Pusat Sumber Sekolah, Sekolah Dato' Abdul Razak 2013

Sambutan Hari Guru 2013

Sekolah Dato' Abdul Razak

30 June, 2013

Hari Olahraga Tahunan SDAR Ke-53 (HOTS)

29 Jun 2013 , Sabtu - Hari Olahraga Tahunan SDAR (HOTS) ke-53 2013 telah berlangsung di padang SDAR dengan jayanya hari ini. HOTS ke-53 ini telah dirasmikan pembukaannya oleh Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sembilan, Cik Azura Bt. Hj. Sarbin . 

                      
                       HOTS ke-53 dimulakan dengan perbarisan masuk kontijen-kontijen yang mengambil bahagian yang terdiri daripada pasukan rumah sukan dan pasukan badan beruniform. Kemudian bendera kejohanan telah diarak masuk ke padang oleh 4 orang wakil setiap rumah dengan diketuai oleh Ketua Pelajar SDAR, Amir Bin Lamzah . Tema HOTS tahun ini ialah "WORLD WAR III". Rumah-rumah sukan dan perbarisan rumah sukan adalah mengikut tema yang dipilih. Rumah Laxmana telah dipilih sebagai Johan Perbarisan Antara Rumah serta Johan Hiasan Rumah dengan Tema "BLACK OPS" . Pasukan Bulan Sabit Merah telah memenangi Johan Perbarisan Badan Beruniform 

                       Acara balapan telah bermula pada jam 8:00 pagi. Acara-acara akhir balapan yang dipertandingkan semasa HOTS ini ialah 100m (untuk semua kelas: Kelas 1, Kelas 2 dan Kelas 3), 400m, 4 x 400m dan 4 x 100m. Turut dipertandingkan acara larian bagi guru dan staff serta jemputan SDARA.

HOTS ke-53 ini telah menyaksikan penguasaan oleh Rumah Laxmana sebagai Johan Keseluruhan.
Berikut adalah keputusan kesuluruhan HOTS ke-53
             Pertama- Laxmana (Black OPS)
             Kedua- Syahbandar (Pirates)
             Ketiga- Bendahara (Spartan)
             Keempat- Temenggung (British Army)
Majlis telah berakhir pada 12.30 tengah hari. Tahniah diucapkan kepada semua yang telah menjayakan HOTS ke-53 2013. 
Berikut adalah gambar-gambar ketika HOTS ke-53

Saudara Amir Bin Lamzah mengetuai bacaan Ikrar Kejohan
HOTS ke-53

Kontijen Kawad Kaki Laxmana (Black OPS)

Kontijen Kawad Kaki Temenggung (British Army)

Kontijen Kawad Kaki Bendehara (Spartan)

LAXMANA- Johan Khemah Tercantik

Kontijen Kawad Kaki BSMM merangkap
JOHAN KAWAD KAKI ANTARA UNIT BERUNIFORM

Kontijen Kawad Kaki Syahbandar (Pirates)


27 June, 2013

Jasamu Dikenang Budimu Disanjung: En. Mohd Syukor Bin Abdullah


Encik Mohd Syukor Bin Abdullah
(Guru Kanan Bahasa Perancis SDAR 2011-2013)

2013 - SEREMBAN - Sebuah majlis mengenang jasa seorang guru Sekolah Dato Abdul Razak telah diadakan disini. Beliau kini telah berpindah dan meneruskan perkhidmatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd Said, Nilai. Beliau merupakan guru Bahasa Perancis di SDAR bermula tahun 2011 hingga 2013.

      Majlis perpisahan itu dihadhiri oleh Tuan Haji Zakaria Bin Md Zin bersempan dengan sambutan hari guru  peringkat sekolah pada paginya. Majlis merupakan majlis Hi-Tea yang dihadiri oleh guru SDAR.

Majlis Penyampaian Hadiah

Hadiah daripada pelajar...


Merci Monsiour Syukor!!!



13 June, 2013

HANYA KAU DAN AKU

“Lalu ada siapa?”
Mamat tahu langit yang akan ditatapnya esok, tetap akan sama dengan langit yang ditatapnya sekarang. Kalau berbeza sekalipun, mungkin larik-larik awan. Entah mengapa angin hari ini kuat. Mungkin angin kuat itu juga yang menjadi berus langit, mewarnanya dengan awan. Ah, itu logik Mamat. Logik orang kampung.
“Kalau hanya aku? Mengapa?”
Murni tidak pernah berasa seperti ini. Tangannya sesekali berasa sejuk, seperti kurang darah. Digosok-gosok tapak tangannya, semoga darah kembali ke situ. Tidak tahu Murni atas sebab apa dia buat begitu, cuma biasanya di filem-filem barat yang ada salji memang itulah cara mereka, mengosok-gosok tapak tangan. Tetapi Murni tetap berasa tangannya sejuk.
“Kalau hanya ada kau, itu hal besar. Kau tahu, aku perempuan dan kau lelaki. Memanglah ilmu agama aku tidak tinggi, tapi aku tahu tinggi mana nafsu orang seperti kita, yang kurang ibadahnya.”
Mamat cuba tersenyum, tetapi tertahan entah di mana. Sekejap terasa tertahan di dada, sekejap terasa tertahan di kerongkong. Susahnya juga mahu senyum pada sesuatu yang bernama kebenaran. Mungkin sahaja kerana kebenaran itu tidak memihak kepada dia.
“Kalau begitu, kita pulang sahaja.”
Murni berpaling memandang jalan raya tar yang belum diberi garis. Rumput-rumput di tepi jalan sudah meninggi. Tidak ada yang mahu memotongnya kerana upah yang ketua kampung beri, adalah upah tahun 70-an. Rendah dan menghina. Fikiran Murni larut pada rumput-rumput yang meninggi itu, dia tersenyum.
“Itulah yang seeloknya.”
Mamat ke barat dengan langkah yang seperti punya mata, memandang ke langit, melihat awan yang dia tahu ada namanya, tetapi dia tidak peduli. Kerja memberi nama kepada alam ini adalah kerja orang putih. Itulah fikirnya. Namun sesekali dia tetap yakin, langit itu akan tetap sama, hari ini, esok, lusa dan sehingga dia mati. Langkahnya pun menjauh.
“Saya balik dulu.”
Murni ke timur. Ke arah rumput yang meninggi. Tangannya sudah mula terasa darahnya, panas. Aneh rasanya. Kuasa apa yang membuat tangannya sejuk tadi? Biarlah kuasa apapun. Yang penting, dia tahu dia semakin jauh, dan fikirannya terus kepada soalan, mengapa jalan tar itu belum diberi garis?
—-
Ingat hadis Nabi s.a.w. :
“Maka jangan sekali-kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya kerana yang ketiga ialah syaitan.” (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)

TIPS SEBELUM MEMBUAT KEPUTUSAN

‘Guess if you can, choose if you dare.’ -Pierre Corneillie-
Roda waktu tak pernah menunggu, ia akan pergi dan terus berlalu. Tiada apa yang ada pada usia melainkan hanyalah detik-detik kehidupan yang semakin berkurang. Pertambahan umur membuatkan manusia semakin matang secara teorinya. Namun adakah perkara itu merupakan suatu realiti secara praktikal?
Manusia. Mereka dikurniakan akal. Namun sejauh mana mereka memanfaatkannya? Sejauh mana akal itu digunakan berbanding emosi yang menjadi pilihan? Berbicaranya daku bukan kerana apa, kerana penyakit dalam masyarakat kita semakin melata.
Sukar untuk membuat keputusan. Tidak tahu, mana yang benar atau sebaliknya. Segalanya seakan sama. Kebenaran itu kabur, kebatilan pula kelam.
Ada bezakah?
Membuat Keputusan
Membuat keputusan, rumitkan? Banyak perkara yang perlu kita fikirkan. Suatu perkara yang akan jadi penentu.
Sama ada matlamat kita untuk membuat sesuatu perkara itu tercapai atau tidak. Perkara yang sangat penting.
‘It does not take much strength to do things, but it requires great strength to decide on what to do.’ -Elbert Hubbard-
1. Pastikan bahawa minda anda berada dalam keadaan baik.
Perkara pertama yang perlu kita lihat adalah keadaan minda kita.
Adakah ketika itu kita sedang marah?
Atau sedang sedih? Kecewa? Geram?
Sakit hati? Patah hati? Makan hati? Panas hati? Retak hati?
Dan segala jenis hati yang ada kaitan atau dengan bahasa mudahnya dalam keadaan tak gembira?
Kenapa perlu berbuat demikian?
Jawapannya mudah, kerana perkara itulah yang akan mempengaruhi keputusan kita. Tika sedang marah, berapa ramai manusia yang mampu membuat keputusan dengan baik? Tengok sahaja kes cerai yang berleluasa di Malaysia. Puncanya apa? Bergaduh dah semestinya. Cuma, apa yang boleh kita beri perhatian, waktu si suami menjatuhkan talak adalah ketika mana suami itu sedang marah. Marah yang teramat sangat, umpama magma yang meletus menjadi lava.
Membuat keputusan dalam keadaan marah adalah amatlah ditegah. Kemungkinan untuk keputusan kita memberi hasil yang negatif itu amat tinggi. Begitu juga dengan sedih, kecewa dan adik-beradiknya.
Jadi, buatlah keputusan ketika kita dalam keadaan gembira, tenang dan relaks. Sebab minda kita ketika itu lebih terbuka dan rasional. Boleh membezakan yang mana baik dan yang mana lebih baik untuk kebaikan masa hadapan.
Pastikan minda anda dalam keadaan bersedia sebelum membuat keputusan, jika tidak. Maka seeloknya tangguh dulu keputusan itu. Pergi ambil wudhuk dan kalau rajin solatlah istikharah. Minta petunjuk dariNya. InsyaAllah, hasil keputusan anda : Positif.
2. Berhenti ‘berfikir’ tentang pilihan anda.
Berhenti berfikir? Maksudnya? Tidurkah?
Bukan. Maksudnya di sini, ubah sudut pandang kita. Take another look from the other side.
Jika sebelum ini kita berfikir dari sudut rasional dan logik keputusan kita, apa kata kita ambil berat juga bab lain yang berkaitan dengan emosi kita.
Eah? Tadi kata jangan ikut emosi? Hah, macam mana ini?
Begini, emosi adalah elemen yang amat penting untuk manusia. Tidaklah semua emosi itu negatif, walaupun perbualan Melayu ada yang menggambarkan ‘emosi’ itu sebagai suatu yang negatif, namun emosi itu sendiri pada asalnya adalah positif. Seperti mana salah faham konsep ‘couple’ dan ‘cinta’ dalam masyarakat kita. Perkara yang sama terjadi kepada emosi. Kasihan mereka, manusia meninta, mereka merana.
Kita perlu ambil kira faktor emosi kita juga. Dengan kata lain, kita cuba letakkan diri kita dalam suasana tersebut. Adakah kita selesa dengan keputusan kita? Adakah kita gembira apabila keputusan itu dibuat?
Satu contoh, ketika mana kita perlu memilih sama ada hendak pulang bermalam pada hujung minggu atau nak study di dorm. Secara rasionalnya, study di dorm adalah lebih bagus, kita akan dapat ulangkaji pelajaran dan menambah kefahaman dalam masa yang sama meningkatkan lagi kemungkinan untuk dapat cemerlang dalam peperiksaan. Tambahan pula, kita tidak membazir wang untuk tambang dan membazir waktu ketika perjalanan pulang.
Namun begitu, adakah anda gembira dengan keputusan anda? Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah lama tidak pulang, sudah semestinya anda tidak gembira. Lebih malang lagi apabila rasa tidak gembira itu berlarutan sehinggalah masa peperiksaan, sampaikan anda pun dah tak boleh tumpu kerana terlalu memikirkan dan kerinduan. Maka, adakah keputusan yang anda buat berdasarkan rasional itu tadi membuahkan hasil yang positif?
Tidak.
Oleh itu, instead of fikir sahaja, kita perlu hayati pilihan kita. Hayati? Maksudnya, feel lah tentang pilihan kita itu. Sama ada kita selesa atau tidak. Syumulkan sudut pandang anda. InsyaAllah, perkara yang kita selesa itu akan menjadikan kita lebih berusaha untuk melaksanakannya.
‘When you base your life on what’s in your heart, the majority of your decisions are already made.’ -Paul Clark-
3. Menilai setiap kemungkinan dan mempunyai matlamat yang jelas.
Senang cerita, optimis.
Nilai keputusan kita dari segi baik dan buruknya. Bukan sahaja bagi diri kita, tetapi juga untuk mereka di sekeliling. Sama ada keputusan itu membuatkan orang lain selesa atau tidak.
Sebagai contoh, kita nak study dalam bilik. Jadi kita stay up sampai lewat malam. Lampu pun terpasang, dalam masa yang sama orang lain nak tidur. Jadi adakah keputusan kita untuk study dalam bilik itu adalah keputusan yang baik?
Semestinya tidak.
Setiap orang mempunyai hak, dan ketika itu kita telah merampas hak kawan kita untuk tidur dalam keadaan selesa.
Jadi, sekarang ini apa yang boleh kita beri perhatian. Sebelum membuat keputusan, kita perlu kikis perasaan ego dalam diri. Pastikan keputusan kita menghormati hak orang lain dan yang paling penting selari dengan syara’.
‘Everyone should carefully observe which way their heart draws them, and then choose that way with all their strength.’ -Hasidic Saying-
Ingat, apa pun keputusan anda, buatlah dengan minda yang terbuka dan yang paling penting, keputusan yang dibuat tidak lain hanyalah kerana Allah dan bermatlamatkan perjuangan untuk agamaNya.

SABAR MENGHADAPI UJIAN PENENTU MASA HADAPAN

Mengapa ada ujian dalam kehidupan?
Sebenarnya ujian merupakan lumrah dalam kehidupan. Jika kita menghendaki sesuatu yang kita sukai perlu kita berusaha menggapainya. Dalam pada itu, kesempitan, kesukaran dan berbagai rintangan perlu ditempuhi untuk memenuhi cita-cita kita itu. Lebih-lebih lagi apabila kita mengharap redha Allah yang tiada tandingan jika hendak dibandingkan dengan apa jua bentuk kenikmatan. Namun, ujian di dunia sebenarnya bersifat sementara dan hanya untuk menilai tahap kesabaran manusia. Allah berfirman:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” ( Al-Mulk: 2)
Hakikat dalam ujian adalah menentukan darjat seseorang insan di sisi Tuhan. Sama ada baik atau buruk semua terpulang kepada diri manusia itu sendiri. Selain itu, jika kita teliti semula sejarah manusia-manusia yang berjaya dalam hidupnya tidak pernah lekang kehidupan mereka daripada menghadapi ujian.
Lihat dalam sejarah hidup baginda s.a.w, berapa kali baginda dicaci maki? Berapa kali batang tubuh baginda disakiti? Berapa kali baginda digelar itu dan ini? Bukankah baginda seorang nabi? Adakah kita lebih mulia daripada baginda sehingga ujian yang datang melanda kita anggap sebagai suatu penyeksaan? Sedangkan baginda menghabisi seluruh kehidupannya dengan menyebarkan kebaikan walhal kita hidup dengan penuh kepura-puraan.
Oleh itu, sedarlah wahai insan, kita diuji bukan bermakna Allah menjauhkan kita dengan-Nya. Bahkan manusia yang teguh dan sabar dalam menempuhi ujian ini hakikatnya dia lebih dekat dengan Allah s.w.t. Di samping itu, apabila manusia diuji sebenarnya Allah sedang berbicara dengannya kerana Allah mahu kebaikan tersemat dalam jiwa hamba. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Abu Hurairah r.a:
“Barangsiapa yang Allah kehendaki akan memperoleh kebaikan maka Allah akan timpakan kepadanya musibah padanya baik yang mengenai tubuhnya atau hartanya atau apa-apa yang menjadi kekasihnya”.( HR Bukhari )

Ujian sekadar kemampuan insan
“Allah tidak membebani manusia melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah:286)
Begitu bunyi ayat Allah menggambarkan kepada manusia sebenarnya Dia tidak memberatkan manusia dengan apa yang tidak mampu untuk dilakukan.  Namun, mengapa masih ada manusia seakan-akan tidak dapat menerima ujian dari-Nya?
Maha suci Allah daripada tidak tahu tahap keupayaan manusia. Hakikat sebenarnya, tahap keupayaan seseorang insan itu ditentukan oleh dirinya sendiri. Sejauh mana dia ingin membawa diri jika ditimpa kesusahan atau sekuat mana dia mampu mendepani segala permasalahan dalam kehidupan semuanya bergantung pada kekentalan jiwa insan.
Merujuk kepada persoalan diatas tentang seseorang yang murtad atau melakukan keburukan yang lain selepas diuji dengan kematian keluarga akibat kemalangan saya suka untuk melontarkan beberapa idea. Jika kita lihat semula, manusia secara pasti akan menemui mati. Justeru, bagi mereka yang ditimpa musibah seperti ini tidak perlu lama bersedih hati. Bukan bermaksud tidak perlu sedih atau mengenang akan kematian. Namun, jangan menjadikan ia sebagai titik pengakhiran hidup kita atau titik mula kita melakukan kerosakan kerana bagi mereka yang sedar bahawa setiap insan juga akan turut ikut sama(mati) maka tidak wajar bagi mereka bersedih dalam kadar yang lama apalagi murtad.
Allah menguji seseorang dengan kemampuannya. Disebalik itu, Dia menyediakan balasan setimpal dengan ujian yang telah ditetapkan dengan syarat perlu diterbit dalam jiwa manusia itu rasa redha dengan ketentuan-Nya. Bagi kes seperti ini nabi s.a.w ada bersabda daripada Abu Hurairah r.a:
“Tidak ada balasan bagi seseorang hambaku yang mu’min di sisiKu di waktu aku mengambil kekasihnya dari ahli dunia, kemudian ia mengharapkan keredhaan Allah melainkan orang itu memperoleh syurga.”(HR Bukhari)

Proses peningkatan iman
Iman manusia meningkat dan menurun. Meningkat apabila dilimpahi dengan ibadat, menurun apabila melakukan maksiat. Ujian dalam kehidupan merupakan elemen yang Allah tetapkan untuk menilai tahap keimanan seseorang sama ada tertingkat atau sebaliknya. Allah berfirman:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al-Ankabut:2)
Begitu sebenarnya hakikat keimanan. Ia bukanlah angan-angan atau mimpi. Tetapi ia adalah apa yang tersemat kukuh di dalam diri dan terzahir dengan amalan yang menjadi bukti. Keberjayaan ujian pada setiap manusia dinilai dengan tahap kesabarannya menempuhi segala cabaran kerana orang-orang bersabar sesungguhnya Allah ada bersama-sama mereka.
Kondisi Sabar
Sabar boleh dibahagikan kepada beberapa kondisi dalam kehidupan manusia antaranya:
1.Sabar dalam ketaatan
Dalam melakukan perkara kebaikan, kesabaran amat diperlukan. Hal ini kerana dala jiwa manusia sentiasa ada musuh yang menghasut untuk membuat kejahatan. Di tambah pula dengan realiti hidup manusia sekarang ini di mana orang yang melakukan sesuatu kebaikan dianggap sebagai sesuatu yang ganjil. Justeru, dalam melakukan kebaikan tidak dapat tidak perlu seiring dengan kesabaran.
2.Sabar dalam ujian
Seperti yang saya sebutkan tentang persoalan yang diajukan kepada saya di atas juga dalam apa bentuk ujian dalam kehidupan manusia, sabar amatlah dituntut kerana tanpa kesabaran manusia akan hilang arah. Mula dia menyalahkan Allah atas segala musibah. Jadi, kesabaran dalam situasi ini amat penting supaya manusia sekurang-kurangnya bersangka baik dengan Allah atas segala masalah.
3.Sabar dalam kemaksiatan
Sabar ini bukanlah bermaksud apabila kita ingin membuat keburukan perlu ada kesabaran. Namun, ia adalah sejauh mana kita dapat menahan diri kita untuk tidak melakukan maksiat berkenaan. Tambahan pula, dalam perkara yang melibatkan kemaksiatan, banyak faktor-faktor yang melorong manusia kea rah berkenaan. Natijahnya, kesabaran dalam kemaksiatan adalah suatu tuntutan.
Sabar dalam perhubungan
1.Kekeluargaan
Lumrah dalam keluarga kadang-kadang bertikam lidah sesama saudara sedarah. Namun, sillaturahim antara keluarga perkara yang wajib dijaga. Dewasa kini, manusia terlalu mudah memutuskan persaudaraan hanya kerana perwarisan harta, dengki yang tak semena-mena dan pelbagai perkara remeh yang lain. Justeru, bertolak ansur dan berbaik sangka amaln mulia yang boleh mengelakkan perkara ini terus berpanjangan.
2.Percintaan
Sabar dalam percintaan bukan bermakna menanti penuh sabar tanpa ada usaha untuk mencarinya. Sememangnya jodoh telah tertulis, namun usaha daripada pihak manusia juga satu keperluan. Tetapi ramai yang salah sangka hingga menganggap cinta sesama manusia adalah segala-galanya hingga sanggup dihabiskan masa dengan novel-novel dan perkara menjurus kearah itu yang tidak membuahkan faedah. Tambahan lagi, sabar dalam bercinta juga adalah kita menahan nafsu untuk melakukan perkara yang ditegah sebelum akad yang sah disamping berusaha bersedia dari sudut mental dan fizikal sebelum seseorang bernikah.
3.Rumah tangga
Saya bukan orang yang layak bercakap soal ini kerana masih belum berumah tangga. Namun, asam garam dalam berumah tangga, kadang-kadang ada pandangan berbeza. Adapun kesabaran perlu menjadi tonggak utama dalam banyak perkara kerana kesan perselisihan yang berpanjangan bukan sahaja pada pasangan namun lebih buruk tertempias kepada anak-anak. Maka akan berlakulah perkara yang tidak diingini akibat protes daripada anak-anak yang mengharapkan perhatian dan kasih-sayang daripada ibu bapa namun apa yang diterima adalah sebaliknya.
4.Persahabatan
Dalam persahabatan, kesabaran amat penting kerana sahabat atas dasar keimanan lebih berharga nilainya daripada persaudaraan sedarah. Justeru, ulama’ meletakkan garis panduan pada manusia dalam menilai kesabaran dalam persahabatan iaitu bersangka baik atau berlapang dada sebagai selemah-lemah perkara dan mendahulukan sahabat dalam apa jua urusan sebagai tertinggi nilainya.
Kesimpulan
Kesabaran dalam ujian itu adalah satu perkara yang sukar kerana ia melibatkan pelbagai bentuk pengorbanan. Adapun mereka yang berusaha mencapainya dengan bacaan tentang sejarah orang-orang yang sabar dan ganjaran bagi mereka serta bersyukur dengan kenikmatan yang diberikan pasti akan memperoleh kejayaan kalau bukan di dunia pasti di akhirat sana. Teliti hadis baginda s.a.w ini sebagai pemangkin semangat dalam diri kita untuk sama-sama tanamkan sifat sabar dalam jiwa:
“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang lain dan derita sehingga sebatang duri menikamnya kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosanya”. (HR Bukhari)

01 June, 2013

SAMBUTAN HARI GURU 2013

23 Mei 2013 - Seremban -  Sekolah Dato' Abdul Razak telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru peringkat sekolah bagi sesi 2013. Majlis ini telah dijalankan bagi menyambut Hari Guru ( 16 Mei 2013 ) yang telah lepas bagi mengenang jasa guru-guru yang banyak mengorbankan keringat bagi meningkatkan prestasi pendidikan warga pelajar Sekolah Dato' Abdul Razak. Tema pakaian guru sewaktu majlis berlangsung ialah "Bollywood".Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Zakaria Bin Md Zin, Pengetua Cemerlang Sekolah Dato' Abdul Razak. Majlis turut diserikan dengan kedatangan Yang Berbahagia Tuan Ramly Al-Haj Bin Khairuddin. 

Majlis telah dimulakan pada jam 8.00 pagi iaitu sebaik sahaja perhimpunan tamat.Guru-guru berhimpun di hadapan Dataran Bestari dan telah bertangkap gambar beramai-ramai.Selepas itu, guru-guru berkumpul di lobi dewan untuk mengambil gambar bersama-sama pelajar tingkatan 5.Selepas itu, pelajar-pelajar dan guru-guru masuk ke dalam dewan bagi meneruskan majlis.Semasa berada dalam dewan,acara utama iaitu "Student Choice Award" telah diadakan bagi menghargai jasa guru-guru dengan mengadakan beberapa anugerah.Terdapat juga persembahan seperti koir,tayangan multimedia yang dihasilkan oleh pelajar dan persemabahan tradisi iaitu Dikir Barat oleh pelajar tingkatan 5.

Acara tersebut telah diadakan sehingga jam 11.30 pagi.Selepas itu,guru-guru dan pelajar-pelajar dibenarkan untuk pergi berehat sebelum pertandingan dimulakan.Selepas itu, pertandingan seperti mencanting batik dan "60 seconds" telah diadakan.pertandingan ini disertai oleh guru-guru sahaja dan dikendalikan oleh pelajar-pelajar.Guru-guru bersungguh-sungguh dalam menyertai pertandingan tersebut kerana hadiah menanti para pemenang di akhir pertandingan.

Kira-kira jam 1.30 tengah hari, guru-guru telah dijemput untuk makan tengah hari di lobi dewan, manakala pelajar-pelajar dibenarkan balik ke asrama untuk bersiap pulang ke kampung halaman masing-masing.Majlis JASAMU DIKENANG BUDIMU DISANJUNG En. Syukor B. Abdullah [Guru Bahasa Perancis SDAR] telah diadakan semasa Jamuan tengah hari guru-guru.


Sesi gambar beramai-ramai di hadapan Dataran Bestari
Antara gambar guru-guru bersama-sama dengan pelajar tingkatan 5




Student Choice Award
Memotong kek Hari Guru


Semasa Aktiviti Mencanting Batik dan Sukaneka

Majlis JASAMU DIKENANG BUDIMU DISANJUNG En. Syukor B. Abdullah

Pn. Rosnani sebagai pengganti En. Syukor




AKHIR KATA, SELAMAT HARI GURU DAN NAMASTE!!